#TriviaKomik – Selami Evolusi Seragam DC Trinity Selama 85 Tahun!

DC Trinity banner

“I think a hero is an ordinary individual who finds strength to persevere and endure in spite of overwhelming obstacles…”

— Christopher Reeves, (1952-2004).

Tahun ini syarikat DC Comics menyambut ulangtahunnya yang ke-85 dan artis Nicola Scott menerokai evolusi seragam tiga ikon DC Comics yang utama – Superman, Batman dan Wonder Woman – dengan melukis jenis-jenis seragam yang mereka pernah pakai daripada halaman komik kepada siri televisyen, filem, animasi serta permainan video selama ini. Illustrasi bonus: sejarah kesemua versi seragam Dick Grayson sebagai Robin sehinggalah versi Nightwing zaman sekarang!

Evolusi Seragam SUPERMAN (1938-2019)

Lukisan 85 tahun sejarah Superman oleh @nicolascottart

Evolusi seragam watak SUPERMAN selama 81 tahun daripada halaman komik Superman #1 (1939) kepada versi siri TV animasi Superman oleh Max Fleischer daripada zaman 1940-an dengan logo S berwarna merah di dalam pentagon berwarna hitam. Versi Max Fleischer ini dan versi daripada komik Kingdom Come rekaan artis tersohor Alex Ross hanyalah dua kali di dalam sejarah Superman yang pentagonnya berwarna hitam.

Juga ditampilkan adalah versi filem Superman (1978) yang pertama kali menampilkan rambut depan berbentuk ‘S’ lakonan legenda Christopher Reeves kepada versi berambut panjang selepas acara Death of Superman pada zaman 1990-an.

Akhir sekali Superman versi zaman moden yang berkolar tanpa cawat merah ikoniknya daripada reboot New 52 (2011) serta reboot DC Rebirth (2016) juga ditampilkan!

Yang peliknya, versi pertama Superman daripada halaman komik Action Comics #1 (Jun 1938) dengan perisai ‘S’ di dadanya tidak disertakan oleh artis Nicola Scott.

Evolusi Seragam BATMAN (1939-2019)

Lukisan sejarah 85 tahun watak Batman oleh @nicolascottart

Evolusi seragam watak BATMAN selama 80 tahun daripada versi bertanduk yang asal oleh artis Bob Kane dan penulis Bill Finger di dalam halaman komik Detective Comics #27 (Mei 1939) kepada versi Batman daripada Komik Era Perak (zaman 1960-an) yang mula menonjolkan lambang kelawar Batman di dalam bujur berwarna kuning. Versi ini yang paling popular adalah versi siri TV BATMAN (1966-1968) lakonan Adam West.

Juga ditampilkan adalah seragam Batman versi siri TV animasi Super Friends(1973-1979) dan versi komik The Dark Knight (1986) oleh artis Frank Miller yang tiada bujur kuning – sebaliknya memaparkan lambang kelawar yang besar di dadanya.

Akhir sekali Batman versi zaman moden daripada halaman komik Batman Incorporated #1 (2010-2011) dan reboot DC Rebirth di komik Batman #1 (2016) yang mempunyai logo kelawar hitam bersempadankan warna kuning juga ditampilkan!

Evolusi Seragam WONDER WOMAN (1941-2019)

Lukisan sejarah 85 tahun watak Wonder Woman oleh @nicolascottart

Evolusi seragam watak WONDER WOMAN selama 78 tahun daripada versi memakai skirt oleh William Moulton Marston di dalam halaman komik All Star Comics #8 (Disember 1941) kepada versi berambut kerinting selepas acara Crisis On Infinite Earths daripada komik Wonder Woman #1 (Februari 1987) lukisan legenda George Perez.

Juga ditampilkan adalah versi reboot New 52 yang memakai çhoker di dalam halaman komik Wonder Woman #1 (2011) dan versi paling moden daripada DC Rebirth yang tampil di dalam halaman komik Wonder Woman #1 (2016).

Yang peliknya artis Nicola Scott memilih untuk tidak melukis Wonder Woman berseragam jaket dan seluar panjang daripada tahun 2010 sempena isu Wonder Woman #600…

Evolusi Seragam NIGHTWING (1940-2019)

Lukisan sejarah 85 tahun watak Nightwing oleh @nicolascottart

Evolusi seragam watak Dick Grayson selama 79 tahun daripada versi ROBIN yang tampil di dalam halaman komik Detective Comics #38 (April 1940) kepada versi NIGHTWING berkolar besar apabila Grayson mengetuai kumpulan Titans di dalam komik Tales of the Teen Titans #44 (Julai 1984). Juga ditampilkan adalah seragam Grayson/Nightwing berwarna merah sempena reboot New 52 dengan komik Nightwing #1 (2011).

#SoalanCepumas

Versi Superman, Batman, Wonder Woman dan Robin/Nightwing daripada era manakah yang anda paling minati?

Bincangkan.

(Sumber: @nicolascottart)

8 Shares:
You May Also Like