Jalan cerita berjudul “Hunted” yang dinantikan ramai akhirnya hadir dalam naskah terbaru Amazing Spider-Man isu #17 tidak lama lagi dan khabarnya akan menyusahkan lagi hidup Peter Parker yang sudah sedia perit dan derita!

Komik tulisan Nick Spencer dan lukisan Humberto Ramos itu menceritakan usaha terkini musuh yang bernama Kraven dalam usaha menumbangkan Spider-Man. Cuma kali ini sasarannya bukan dihalakan hanya untuk Peter Parker tetapi untuk semua superhero yang mempunyai kuasa luarbiasa berasal daripada haiwan.

Lebih getir dan mencabar pada kali ini adalah kemunculan Kraven bersama gandingan baru iaitu anak beliau sendiri!

Lihat previu dan pandang pertama untuk Amazing Spider-Man #17 di bawah ini:

#Komen5KupangKuMaka begitulah hidup Spider-Man.

Kalau tidak orang pukul dia, dia akan pukul orang. Dah nama pun superhero ye tak? Walaupun sebenarnya dah berapa ratus ribu juta kali entah Spider-Man dah bergasak dengan si Kraven ni tadi.

Cuma kali in dia hantar anak dia pulak. Dia dah tua nak pencen la tu kot… Hahaha!

***

Satu lagi versi Batman muncul untuk memenuhi nafsu dan selera para peminat komik yang tidak pernah puas!

Muncul daripada halaman komik The Batman Who Laughs, watak terbaru The Grim Knight iaitu versi realiti alternatif Batman yang kepakarannya adalah senjata api bakal hadir dengan judul komiknya sendiri tidak lama lagi iaitu The Batman Who Laughs: The Grim Knight.

Dengan gabungan padu karyawan kreatif seperti Scott Snyder, James Tynion IV dan Eduardo Risso, ia bakal membawa kita lebih dekat dengan Batman yang beroperasi ala Punisher menerusi Marvel Comics. Selain daripada set kulit muka hadapan yang menarik oleh Jock and Gabriele Dell’Otto, komik ini nampaknya mendapat sentuhan tambahan dengan sebuah ilustrasi retro hasil karya pelukis asal Filipina iaitu Phillip Tan yang terlihat amat dikenali peminat dan kolektor komik!

Kulit muka hadapan komik tersebut menunjukkan Batman versi Grim Knight sedang beraksi dengan senjata beratnya di samping Harley Quinn disulami sayapnya yang mengerbang berlatarbelakangkan bulan sedang mengambang. Ini jelas sekali sebuah homaj dan inspirasi kepada naskah komik yang dihasilkan oleh Todd McFarlane menerusi Batman #423 (1988) dengan posisi sama.

#Komen5KupangKuAsal ada barang baik, asal boleh bikin duit… penerbit komik mesti ambil peluang. Itu sebablah lepas satu, satu DC Comics muncul dengan bermacam jenis Batman sesudah selesai tragedi Metal tahun lalu.

Tidak mengapa. Asalkan peminat dan pembaca gembira serta bahagia, kita bagi jalan dulu!

***

Menjelang bulan hadapan, Marvel Comics akan bersiap-sedia untuk menghadapi perang besar!

Dalam mengharungi War of the Realms, Malekith dan bala tentera Bunian Gelap, Raksasa Ais dan Goblin Api di bawah naungannya telah menakluki sembilan daripada sepuluh Alam Nyata. Oleh itu, semua adiwira Marvel mesti menghalang beliau untuk masuk dan menjajah Midgard (Bumi) yakni benteng terakhir Alam Nyata.

Dalam pada itu, satu komik yang dihasilkan oleh Greg Pak dan Gang-Hyuk Lim bakal mengembalikan Agents of Atlas menerusi War of the Realms: New Agents of Atlas #1. Komik ini bakal menyaksikan Agent S.H.I.E.L.D. bernama Jimmy Woo merekrut pasukan baru untuk mempertahankan benua Asia dari serangan Malekith dan bala tenteranya.

Selain Shang Chi dan Amadeus Cho (Hulk), ia bakal memperkenalkan satu watak terbaru dengan gelaran Wave yang berasal dari Filipina ciptaan dan rekaan bersama Leinil Yu yang juga kebetulan berasal dari negara tersebut!

Senjata yang terlihat menerusi ilustrasi di atas menunjukan Wave sedang menghunus sepasang Kampilan iaitu sejenis pedang tradisional rakyat Filipina dengan saduran konsep magis dan teknologi.

#Komen5KupangKuMaka berbanggalah rakyat dan bangsa Filipina kerana sudah mempunyai watak Marvel sendiri. Apakah mungkin satu hari nanti Wave akan dapat menganggotai Avengers atau X-Men sekaligus dipaparkan di layar pawagam demi melebarkan lagi pengaruh mereka di sini?

Kita tunggu dan lihat!

0 Shares:
You May Also Like