Selamat Tinggal Captain America. Selamat Tinggal Iron Man. Selamat Tinggal Thor. Selamat Tinggal Hulk. Selamat Tinggal Black Widow. Selamat Tinggal Hawkeye.

Selamat Tinggal Avengers.

Mood perpisahan yang menyelubungi reunion barisan pelakon dan anggota asal Avengers jelas terlihat semasa sesi wawancara eksklusif bersama wakil Entertainment Weekly, penulis Anthony Breznican hujung minggu lepas di Los Angeles untuk promosi filem yang dianggap ramai sebagai pertemuan terakhir mereka di belakang kamera sejak pertama kali bersatu menerusi The Avengers (2012) -Robert Downey Jr. (Iron Man), Robert Evans (Captain America), Scarlett Johansson (Black Widow), Chris Hemsworth (Thor), Mark Ruffalo (Hulk) dan Jeremy Renner (Hawkeye yang kini dikenali sebagai Ronin).

Kesemua mereka berada di dalam kelas tersendiri. Dan kelas itu bakal menuju penamatnya menerusi filem Avengers: Endgame tidak lama lagi dengan kandungan rahsia dan plotnya masih banyak disimpan rapi sehinggalah ia berada di pawagam seluruh dunia secara rasmi pada tanggal 26 April nanti.

Tonton liputan dan video penuh wawancara EW bersama enam anggota asal Avengers dan Kevin Feige di bawah ini:

Dan tidak seorang pun daripada pelakon-pelakon utama Avengers yang dijemput dalam wawancara ini dapat mendedahkan apa-apa tentang status mereka. Dalam sesi tersebut, mereka saling usik-mengusik, bergurau senda dan masih memikirkan masa depan MCU, sama seperti tujuh tahun lalu apabila pihak EW mula-mula menjemut mereka untuk satu sesi meja bulat.

Presiden Marvel Studios, Kevin Feige yang juga turut bersama mereka adalah individu penting yang membantu menyatukan pasukan adiwira ini persis tugasan dan tanggungjawab Kolonel Nick Fury.

Sempena permulaan Siri Jelajah Global AVENGERS: ENDGAME di Los Angeles hujung minggu lepas, Entertainment Weekly juga turut menularkan enam kaver kulit muka hadapan edisi kolektor untuk isu terbaru mereka yang menampilkan kesemua enam anggota asal Avengers serta kaver istimewa yang ketujuh menonjolkan kesemua barisan pelakon sekuel ini!

Kesemua kulit muka hadapan eksklusif majalah Entertainment Weekly di bawah menampilkan enam anggota asal Avengers yang mula dikongsikan menerusi Twitter jika dilihat dengan teliti menyimpan petunjuk yang seolah-olah mendedahkan serta membayangkan teori siapa yang bakal menggunakan Permata Infinity bagi setia anggota adiwira asal ini.

KAVER 1: Tony Stark/Iron Man dengan perisai Mark 85 serba baru. Warna KUNING seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di sebelah kanan atas dan warna font Entertainment Weekly itu sendiri menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Minda (Mind Stones).

KAVER 2: Steve Rogers/Captain America. Warna BIRU seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di bahagian atas sebelah kanan dan warna font Entertainment Weekly menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Angkasa (Space Stones).

KAVER 3: Natasha Romanoff/Black Widow. Warna MERAH seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di bahagian atas sebelah kanan dan warna font Entertainment Weekly sendiri menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Realiti (Reality Stones).

KAVER 4: Thor Odinson. Warna JINGGA seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di bahagian atas sebelah kanan dan warna font Entertainment Weekly sendiri menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Jiwa (Soul Stone).

KAVER 5: Dr. Bruce Banner/Hulk. Warna HIJAU seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di bahagian atas sebelah kanan dan warna font Entertainment Weekly sendiri menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Masa (Time Stone).

KAVER 6: Clint Barton/Hawkeye atau Ronin. Warna UNGU seperti yang dilihat pada ikon Infinity Gauntlet kecil di bahagian atas sebelah kanan dan warna font Entertainment Weekly sendiri menunjukkan bahawa dia akan menggunakan Permata Kuasa (Power Stones).

Kedua-dua pengarah filem AVENGERS: ENDGAME iaitu Anthony dan Joe Russo tidak memberikan sebarang pembayang atau apa-apa kenyataan tentang sambungan kepada AVENGERS: INFINITY WAR tahun lalu kecuali janji bahawasanya ia adalah sebuah naskah penamat. Ini merupakan filem ke-22 dalam Semesta Sinematik Marvel (MCU) dan akan menjadi kesimpulan untuk sebuah pengakhiran beberapa watak penting MCU.

#SoalanCepumas – Apakah ada kebenaran dan kesahihan di sebalik teori “Anggota Asal Avengers Pemakai Permata Infinity” ini? Mohon pendapat dan ulasan peribadi anda menerusi ruangan komen di bawah untuk perkongsian bersama!

Sudah pasti kita akan mengetahuinya hanya dalam masa dua minggu daripada sekarang apabila filem AVENGERS: ENDGAME akan ditayangkan secara rasmi dan lebih awal di Malaysia pada tanggal 24 April, 2019.

0 Shares:
You May Also Like