Robert Pattinson BUKAN Batman Lagi – 3 Pelakon Lain Juga Dalam Pertimbangan!

Laman media sosial gempar hari ini apabila ditularkan bahawa pelakon Robert Pattinson – yang popular pada awal abad ke 21 dengan francais filem HARRY POTTER dan TWILIGHT – kini sedang di dalam proses perbincangan dengan pihak Warner Bros untuk menyarung topeng BATMAN bagi trilogi adiwira terbaru olahan penulis-pengarah Matt Reeves (trilogi PLANET OF THE APES) .

Laman Variety.com mula-mula mentiriskan berita ini pada hari Khamis, May 16, 17:47 waktu Los Angeles (pagi Jumaat, May 17, 9:00 di Malaysia) dan sejurus selepas itu, ura-ura ini gempar di laman media sosial seMalaysia. Namun, artikel Variety tersebut mengesahkan bahawa Pattinson sekadar diperingkat perbincangan – di mana perjanjian kontrak belum dimeterai lagi dengan calon utama untuk watak Bruce Wayne/Batman ini.

Kurang daripada 30 minit kemudian, laman Deadline.com (May 16, 18:09) menyangkal ura-ura yang ditiriskan oleh pihak Variety.com sebelum ini – menambahkan fakta bahawa pelakon Nicholas Hoult daripada francais X-MEN juga masih dalam proses dipertimbangkan oleh pihak Warner Bros untuk menyandang topeng Batman!

Memandangkan pelakon muda yang memulakan kariernya sebagai pelakon sampingan di dalam filem rom com yang diterajui Hugh Grant, ABOUT A BOY – telah berkecimpung di dalam dunia adiwira selama 8 tahun yang lepas sebagai watak Hank McCoy a.k.a. Beast di dalam siri filem X-MEN – penulis fikir Nicholas Hoult adalah lebih secocok untuk menjadi versi Batman yang terbaru.

Lebih daripada 15 minit kemudian, laman The Hollywood Reporter (May 16, 18:23) juga menambah fakta bahawa selain daripada pelakon Robert Pattinson dan Nicholas Hoult, dua lagi pelakon Hollywood juga sedang dipertimbangkan oleh pihak Warner Bros sebagai watak Batman – pelakon Armie Hammer dan Aaron Taylor-Johnson!

Nampaknya, watak Batman untuk trilogi terbaru di DC Extended Universe merupakan sebuah acara perlumbaan di Hollywood – di antara seorang Vampire emo yang bergemerlapan, The Beast daripada X-Men, Quicksilver daripada Avengers yang tak cukup pantas dan The Lone Ranger!

Mengapakah berita filem THE BATMAN disebarkan sebagini? Kemungkinan besarnya, pihak Warner Bros ingin mendapat pendapat khalayak umum tentang pemilihan mereka – pelakon Robert Pattinson sebagai Batman.

Mungkin juga, ejen yang mewakili Nicholas Hoult mahu mengesyorkan pelakon yang diwakilinya akan berjaya menggapai peluang menjadi Batman nanti…. maka dia berharap sentimen khalayak ramai membenci Pattinson yang terkenal sebagai Vampire emo melalui francais TWILIGHT untuk menolong Hoult menggondol watak ini akhirnya.

Biasalah, permainan di sebalik tabir Hollywood sememangnya mengalahkan GAME OF THRONES sebenarnya!

#SoalanCepumas – Siapakah pelakon pilihan anda untuk menjadi Batman? Bincangkan.

Filem THE BATMAN akan diarah oleh Matt Reeves berdasarkan skrip yang ditulisnya sendiri, dan diterbitkan juga oleh Reeves yang berkerjasama bersama rakan kolaborasinya daripada trilogi filem PLANET OF THE APES, Dylan Clark.

Di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Jun 2021.

0 Shares:
You May Also Like